Dong Zong

KUALA LUMPUR – Perbincangan terperinci dengan pertubuhan pendidikan dan ahli akademik perlu dibuat jika kerajaan mahu memperkenalkan semula Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Itu tegas Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

“Adalah penting bagi kerajaan untuk mendengar pandangan-pandangan rakyat, khasnya pihak-pihak yang berkepentingan supaya dasar pendidikan yang digubal oleh kerajaan mendapat persetujuan semua pihak.

“Sehubungan itu, kami ingin mengingatkan kabinet supaya mengambil kira pandangan rakyat dan pendapat profesional dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan semula PPSMI,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kedua-dua pertubuhan itu merujuk kepada cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan yang membayangkan untuk mengembalikan semula PPSMI.

Sebelum itu, PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003 namun ia dibatalkan selepas enam tahun perlaksanaan kerana memberi impak negatif dalam dunia pendidikan.

Menurut Dong Zong dan Jiao Zong, pembaharuan pendidikan bagi Malaysia Baru hendaklah selaras dengan arus perkembangan global dan sanggup berdepan dengan cabaran masa akan datang tetapi bukan meneruskan minda lama yang ketinggalan zaman seperti melaksanakan semula dasar PPSMI yang telah terbukti gagal.

Sehubungan itu, Dong Jiao Zong menyeru supaya kerajaan Pakatan Harapan bertindak segera untuk melantik seorang Menteri Pendidikan yang berpandangan jauh dan berketrampilan dalam menerajui pembangunan pendidikan negara sejajar dengan arus perkembangan pendidikan sedunia.

Sebelum pelantikan Menteri Pendidikan yang baru, KPM tidak patut melaksanakan sebarang dasar pendidikan baru secara tergesa-gesa, kata mereka lagi.- MalaysiaGazette