BEIJING – China akan mengurangkan tarif tambahan sebanyak 50 peratus yang dikenakan ke atas 1,717 barangan Amerika Syarikat (AS) pada tahun lepas susulan pemeteraian perjanjian Fasa 1 yang membawa kepada perdamaian perang perdagangan di antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Meskipun pengumuman tersebut akan dibalas oleh komitmen AS berdasarkan perjanjian berkenaan namun ramai penganalisis melihat ianya adalah satu langkah oleh Beijing untuk merangsang keyakinan di tengah-tengah penularan koronavirus yang telah menjejaskan perniagaan dan sentimen pelabur.

Media-media tempatan melaporkan, Beijing akan memohon klausa berkaitan bencana dimasukkan dalam perjanjian dagang berkenaan bagi membolehkan negara tersebut mengelakkan kesan sekiranya ia tidak mampu memenuhi sasaran penuh pembelian barangan dan perkhidmatan AS pada tahun ini.

Kementerian Kewangan China dalam satu kenyataan berkata, bermula pada 0501 GMT, 14 Februari, tarif tambahan ke atas sebahagian barangan akan diturunkan kepada lima peratus berbanding 10 peratus sebelum ini manakala yang lain akan dikurangkan kepada 2.5 peratus berbanding lima peratus sebelumnya.

Kementerian itu bagaimanapun tidak menyatakan nilai barangan yang terlibat dengan keputusan tersebut.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Kewangan berkata, pengurangan tarif itu adalah sejajar dengan pengumuman yang dibuat oleh AS terhadap barangan China yang juga dijadualkan berkuatkuasa pada 14 Februari.

Penyelarasan seterusnya akan dibuat bergantung kepada perkembangan ekonomi dan perdagangan bilater, katanya.-MalaysiaGazette