Dr Jeneri Amir

KUALA LUMPUR – Seorang penganalisis politik menegaskan bahawa usaha untuk menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang adalah mengkhianati rakyat yang sepatutnya berhak memilih pemerintah menerusi pilihan raya.

Menurut Prof Madya Dr. Jeniri Amir, sekiranya benar wujud usaha untuk menjalinkan kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ia merupakan tindakan tidak bermoral.

“Saya tidak fikir itu wajar kerana kalau mahu tubuhkan kerajaan harus kembali kepada rakyat, serahkan hak kepada kepada rakyat tentang siapa yang berhak memerintah negara bukan pendekatan yang tidak wajar apatah lagi apabila pihak tertentu ada kepentingannya.

“Sekarang ini apakah agenda beliau membuat percaturan ini, kerana ia mencetuskan krisis politik dalam negara yang bukannya akan beri kesan kepada rakyat malah pelabur asing. Saya tidak fikir ini adalah bermoral dari segi politik, hanya untuk memenuhi agenda semata-mata,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Jeneri, seorang pemimpin tidak patut bertindak sesuka hati dengan menafikan sistem demokrasi negara.

“Jadi apa maknanya pilihan raya itu kalau pemimpin boleh buat keputusan sesuka hati dengan siapa mahu bentuk kerajaan,” ujarnya.

Tambah Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu, isu penubuhan kerajaan pintu belakang tidak sepatutnya berlaku sekiranya Dr. Mahathir tidak mengingkari apa yang telah dimeterai dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya lalu.

“Tun harus kembali kepada persetujuan yang telah dimeterai sebelum PRU yang lalu iaitu tentang kepada siapa jawatan Perdana Menteri itu berhak diserahkan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman audio tiga minit 18 saat yang mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika muncul dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional baru-baru ini.

Dalam rakaman audio itu, Ahmad Zahid didakwa menyatakan bersandarkan Muafakat Nasional, UMNO perlu mengikut tindakan Pas ‘supaya tidak tertinggal di belakang’.

Jeneri menyatakan usaha itu tidak mustahil dilakukan, namun tidak boleh dinafikan bahawa UMNO sendiri mempunyai dua kem, iaitu kumpulan yang menyokong Dr. Mahathir dan sebuah lagi kumpulan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, katanya keputusan sebelah pihak sahaja sudah tentu akan memberi kesan kepada politik dalaman UMNO.

“Sama ada bolehkah perkara ni dilaksanakan ia bergantung kepada bagaimana mereka membuat percaturan dengan puak tertentu dalam UMNO, kerana UMNO sendiri punya dua puak iaitu satu sokong Anwar, satu Tun M

“Saya fikir akhirnya terpulang kepada UMNO sendiri. UMNO juga tidak harus buat keputusan yang berbeza, harus ada perbincangan mendalam.

“Ini tidak baik untuk masa depan politik negara kalau kita benarkan ini berlaku, bayangkan kesannya kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.