Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media Majlis Menandatangani Project Funding Agreement Yang Baharu bagi Projek Lebuhraya Pan-Borneo Sarawak di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 06 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Malaysia tidak mempunyai risiko kemelesetan ekonomi, sebaliknya cadangan untuk melancarkan pakej rangsangan hanyalah bagi memastikan pertumbuhan negara dapat dikekalkan, tegas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Tambahnya, kerajaan akan segera memanggil pemegang-pemegang taruh terutamanya yang terlibat dalam sektor yang terjejas untuk memberikan input berhubung penyediaan pakej rangsangan tersebut.

Tanpa mengulas lanjut, Guan Eng berkata, pelancaran pakej rangsangan ekonomi itu akan dibuat tidak lama lagi.

“Saya perlu membentangkan kertas cadangan pakej rangsangan ekonomi itu kepada Kabinet terlebih dahulu.

“Bersabarlah, segala butiran lanjut akan diumumkan kemudian,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Guan Eng juga enggan menjawab nilai pakej tersebut serta sama ada ia menggunakan kaedah yang sama seperti pakej rangsangan ekonomi yang pernah dilancarkan pada 2009.

Bagi menghadapi kesan penularan koronavirus (2019-nCoV) yang kini dikesan di 24 negara termasuk Malaysia, kerajaan sedang menimbang pakej rangsangan yang bukan sahaja memberi suntikan kepada ekonomi, tetapi juga memberi keutamaan terhadap keperluan yang boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.- MalaysiaGazette

Kerajaan pertimbang pakej rangsangan ekonomi ekoran koronavirus