Ketua Badan Pimpinan Negeri PPBM Wilayah Persekutuan, Muhammad Suhaimi Yahya

KUALA LUMPUR – Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan mahu agar jawatan Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (PPBM) Wilayah Persekutuan, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, pihaknya menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mahu agar jawatan masing-masing dikekalkan.

Malah katanya, perkara sama wajar dilakukan terhadap jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

“Badan Pimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pengerusi Bersatu, Presiden Bersatu dan Timbalan Presiden Bersatu untuk terus dikekalkan jawatan dan tidak dipertandingkan jawatan-jawatan tersebut,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Suhaimi menjelaskan, bagi tujuan berkenaan, pihaknya telah dibekalkan dengan senarai nama-nama ahli yang bertanding jawatan di peringkat Bahagian, Srikandi serta Armada dan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, Bersatu Wilayah Persekutuan akan mematuhi ketetapan persidangan yang akan bermula pada 15 Februari hingga 24 Mac nanti dengan memberikan kerjasama penuh sepanjang ianya berlangsung.

Beliau turut menasihatkan agar semua ahli-ahli parti berhemah sepanjang tempoh berlangsungnya Persidangan Cawangan, yang akan menjalankan Pemilihan Jawatankuasa Bahagian masing-masing. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. bersatu ikut cara umno. susah nak ubah cara lama. nanti rasuah pun boleh jangan sampai orang tahu. mencuri pun boleh kalau tak kena tangkap. bersatu boleh jadi umno2

Comments are closed.