KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menyatakan dengan jelas proses saringan koronavirus untuk kru pesawat yang sehingga hari ini masih bertugas membawa penumpang pergi dan pulang dari China.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, proses i tidak dibincang secara terperinci dengan pihak yang terlibat seperti kesatuan dan syarikat penerbangan.

Menurutnya, syarikat penerbangan yang mempunyai kru dan pekerja yang bertugas ke negara China perlu melaporkan aktiviti perjalanan mereka yang mana kini tidak siapa yang tahu mengenainya kecuali syarikat itu sendiri.

Ujarnya, sayrikat penerbangan juga harus melaporkan laporan ini kepada Majlis Konsultasi Penerbangan Nasional (NACC) jika terdapat kru kabin pesawat terlibat dengan penahanan kuarantin.

“Sehingga hari satu laporan kami tidak menerima tetapi hanya mendapat maklumat dari pihak media dan juga kru yang terlibat sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Kata NUFAM, banyak syarikat penerbangan tidak mahu menyediakan maklumat kecuali memohon agar pekerja kru kabin terus beroperasi ke China, yang mana ia sepatutnya bukan paksaan.

“Masalah dan aduan yang kami terima jika kru pesawat ini rasa takut dan tidak selesa bagaimana pula?

“Apakah tindakan syarikat pula terhadap mereka jika kru pesawat ini enggan patuhi jadual ke China?

“Adakah mereka boleh dikenakan tindakan disiplin? Rasa takut dan tidak senang hati adalah biasa oleh mana mana individu ini kerana mereka berada ditahap risiko yang tinggi,” ujarnya.

Berikutan itu, NUFAM menggesa isu tersebut dibincangkan dan mahu pihak KMM mengeluarkan kenyataan mengenai proses kru pesawat yang beroperasi ke negara China, Australia dan Singapura yang dilaporkan mempunyai kes koronavirus baharu. – MalaysiaGazette