Achey Bocey ketika jenazah Allahyarham Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan dibawa ke hospital untuk bedah siasat selepas meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Salak Gombak, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 FEBRUARI 2020

GOMBAK – “Saya, Abam dan Fad sangat rapat dan ada satu hubungan yang lebih daripada adik beradik dan saudara mara.

“Kita bina periuk nasi bersama dan kita yang tahu perjalanan yang kami tempuhi. Saya agak tidak dapat menahan, terus bila kita dapat tahu (berita kematian) kita imbas kembali apa kekuatan yang membuat kami sampai ke tahap ini.

“Abam adalah orang yang sangat-sangat baik, itu yang saya dapat sampaikan. Tolong doakan dia,” luah Achey Bocey yang turut menyifatkan keakraban mereka bertiga sebagai anugerah Allah yang tidak dapat dicari di mana-mana.

Dengan nada yang amat sayu, Achey mengakui amat terkejut dengan pemergian Abam selepas dua hari lepas mereka bertiga bergurau di dalam grup Whatsapp tentang projek masyarakat yang sedang mereka rancangkan.

Katanya, hubungan antaranya, Abam dan Fad sangat istimewa melebihi adik beradik, justeru kehilangan Abam tentunya memberi kesan yang amat besar, bagaimanapun Achey berjanji akan terus mengubat kerinduan para peminat sahabatnya itu.

Achey berkata beliau ke rumah arwah pada jam 7.50 pagi selepas diberitahu oleh isteri Abam, Nur Hidayah Mohd Ali tentang berita mengejutkan itu.

“Pada 7.50 pagi saya sampai memang Abam dah tiada, saya tidak dapat cakap banyak dan cuma hubungi Fad yang ketika ini berada di Jepun.

“Fad terkejut dan saya terus ambil maklumat dan bagitahu kepada rakan-rakan yang rapat setidaknya mereka dapat tahu dan doakan arwah,” kata Achey dalam nada sebak.

Achey berkata kali terakhir mereka berhubung adalah pada Sabtu lalu bagi membincangkan satu projek baharu atas mereka bertiga.

“Kami bertiga ada janji untuk membuat satu program sendiri sebab memandangkan karier kami sudah ditahap tengah kami ingin buat satu projek di mana ia akan dekat dengan masyarakat tapi kami ada mesej dalam whatsapp dua hari lepas dan bergurau macam biasa.

“Projek itu jadi tapi bila tidak kesampaian, ini untuk semua peminat yang bersama dan setia dengan kami,” katanya lagi.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia di kediamannya di Gombak, pagi tadi.

Berita pemergian Abam itu disahkan isterinya, Nur Hidayah dan Achey di Instagram.

Abam mengalami demam panas dan mengadu tidak sihat sejak beberapa hari lalu tetapi enggan ke hospital.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki yang baru berusia lima bulan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sy pun tak pecaya klau abam bocey meninggal dunia seriusly tidak percaya sgat..belinang air mata bila tdengar kawan sebelah ckap abam bocey dh pergi tggalkan kita, then sy tk percaya so sy tgok sndiri kat ig.sah mmng btul abam ksygan kami pergi meninggalkan kita semuaa
    Al-fatihah, dan salam takziah buat kluarga,semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dengan orang2 yg beriman amin

Comments are closed.