Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional Parlimen Bandar Tun Razak di Tapak Pasar Pagi Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – UMNO akan mendapatkan penjelasan daripada Pas berhubung langkah membawa usul undi percaya bagi menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan kepemimpinannya sehingga habis penggal.

Timbaan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu dilakukan kerana kedua-dua parti tersebut memerlukan kebersamaan selepas termeterainya Muafakat Nasional.

“UMNO akan bersama-sama untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak Pas. Usul ini datang daripada Pas dan diserahkan dalam bentuk Muafakat Nasional.

“Apa yang dilakukan mesti secara bersama. Jika ia merupakan sesuatu langkah yang baik, UMNO tidak akan teragak-agak untuk bersama,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Muafakat Nasional peringkat Bandar Tun Razak di sini hari ini

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu sidang media memaklumkan PAS akan membawa usul undi berkenaan ke Parlimen pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Tuan Ibrahim menegaskan, Pas memandang ada keperluan usul itu dibawa ke Parlimen memandangkan berlaku ketidakstabilan politik dalam negara ekoran perselisihan tentang peralihan kuasa perdana menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: 

TERKINI : ‘Usul Undi Percaya’ Nak Tengok Sejauh Mana PM Dapat Sokongan Ahli Parlimen – Tuan Ibrahim