Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang lelaki tempatan yang tidak sihat dan batuk selepas kembali ke negara ini pada 1 Februari lalu mengalami jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan disahkan positif 2019-nCoV.

Lelaki yang bekerja di Macau itu telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan sudah pun menjalani rawatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berusia 31 tahun itu tidak sihat dan batuk pada 3 Februari 2020.

Katanya, pada 4 dan 6 Februari 2020 lelaki itu telah pergi ke klinik tetapi masih masih tidak sihat.

Pada 7 Februari 2020, dia mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan dan dirujuk ke Hospital Banting, Selangor pada hari sama untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Setelah disaring dan disiasat beliau dikesan mengalami radang paru-paru (pneumonia) dan telah dimasukkan ke hospital tersebut. Pemeriksaan seterusnya mendapati beliau menghidap Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan memerlukan pemantauan rapi.

“Beliau seterusnya telah dirujuk dengan segera ke Hospital Sungai Buloh. Pihak hospital sudah pun memulakan rawatan dan menjalankan siasatan lanjut. Sampel klinikal pesakit telah diambil dan pada 9 Februari 2020 telah disahkan positif 2019-nCoV,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telah pun dimaklumkan untuk mengambil tindakan siasatan, pengesanan kontak rapat, langkah pencegahan dan kawalan.

“Saya ingin menasihatkan penduduk di daerah Banting agar bertenang. Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan sewajarnya dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya sambil menyeru orang ramai yang memerlukan penerangan atau maklumat mengenai penyakit ini  hubungilah hotline di CPRC Kebangsaan.

Talian itu adalah 03 88810200, 03 88810600, 03 88810700 atau emel [email protected]. – MalaysiaGazette