Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mahdzir Khalid bersetuju dengan cadangan yang arahan daripada Datuk Seri Najib Razak supaya Kementerian Pendidikan mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) dengan segera untuk Jepak Holdings Sdn Bhd tidak mengikuti peraturan.

Bekas Menteri Pendidikan itu bersetuju dengan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang meminta beliau menjelaskan jawapannya susulan soalan yang diajukan Jagjit Singh – peguambela isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mohamed Zaini: Adakah kamu tidak bersetuju bahawa arahan (keluarkan SST dengan segera) adalah mengikuti peraturan?

Mahdzir: Ya, saya.

Terdahulu Jagjit beberapa kali mencadangkan kepada Mahdzir bahawa arahan yang dikeluarkan oleh Najib adalah berdasarkan peraturan.

Namun Mahdzir mengulangi jawapannya bahawa arahan yang diterimanya daripada Najib adalah untuk mengeluarkan SST dengan segera kepada Jepak Holding, syarikat yang dianugerahkan untuk projek mega memasang tenaga solar di 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak.

“Sewaktu kita keluarkan Surat Niat itu yang ikut peraturan, sebab dalam kenyataan (bertulis saya) itu mengatakan Perdana Menteri minta tangguh pada 7 petang pula keluarkan arahan kepada saya keluarkan SST dengan segera,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau berkata tidak membawa arahan Najib itu kepada jemaah kabinet dalam masa yang sama beliau tidak pula membuat keputusan untuk meletakkan jawatan.

Jagjit: Adakah anda sebagai Menteri Pendidikan (pada waktu itu) bawa perkara ini (arahan keluarkan SST daripada PM) kepada kabinet?

Mahdzir: Tidak, tidak perlu dibawa ke kabinet.

Jagjit: Adakah (dengan perkara ini) Datuk Seri serahkan surat letak jawatan sebagai menteri?

Mahdzir: Tidak ada.

Dalam perbicaraan hari ini, pihak pembelaan juga cuba mencadangkan bahawa wujud ‘tawar-menawar’ dengan pihak pendakwaan untuk beliau membuat keterangan kepada mahkamah agar terlepas daripada pendakwaan.

Mahdzir sekali lagi tidak bersetuju.

Untuk rekod, saksi kelima pihak pendakwaan itu pernah memaklumkan kepada mahkamah menerima tekanan daripada Najib yang mengarahkannya melaksanakan projek solar hibrid yang dicadang Jepak Holdings Sdn Bhd walaupun sebelum itu pernah ditolaknya kerana beranggapan syarikat tersebut tidak berkemampuan.

Kemudian sekitar Jun 2016, saksi memberitahu, bekas perdana menteri itu memaklumkannya untuk menggunakan kaedah tender terbuka dan bukan rundingan terus.

Beliau juga baru-baru ini sebagai saksi pernah memaklumkan yang dirinya yakin Rosmah terlibat menolong Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan.-MalaysiaGazette