Fad (bertopi) memeluk Achey yang menyambut kepulangannya dari Jepun di KLIA.

KUALA LUMPUR – Anggota kumpulan Bocey, Muhamad Fadzlie Mohd Nizam yang bercuti bersama keluarganya di Tokyo, Jepun sudah pun tiba di tanahair.

Kepulangannya itu dimaklumkan menerusi Instagram.

Muhamad FadzlieĀ  atau lebih dikenali sebagai Fad turut menyertakan gambar memeluk rakan sekumpulannya, Achey yang menyambut beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

“Alhamdulillah, selamat sampai..aku terbayang kau pon ada bam dalam pelukan tu, Allah..kite kene kuat ye chey..dapat semangat aku balik,” demikian ciapan Fad di laman sosial itu.

Fad yang merupakan anggota asal kumpulan Bocey tidak dapat hadir pada pengebumian rakan seperjuangannya Allahyarham Abam yang meninggal dunia di kediamannya di Gombak, dipercayai akibat demam panas, kelmarin.

Menerusi video berdurasi 21 saat, Fad memuat naik luahan yang cukup menyentuh hati pada saat dimaklumkan berita pemergian arwah Abam.

Dalam rakaman itu Fad berkata, dia dan isterinya cuba mendapatkan tiket penerbangan awal untuk pulang ke Malaysia, namun usahanya hampa.

Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, dipercayai akibat demam panas, kira-kira jam 7 pagi kelmarin.

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Siti Nurhidayah Mohd Ali pada 8 Disember 2017.

Mereka dikurniakan anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang kini berusia lima bulan. – MalaysiaGazette