Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahya (duduk, tiga kiri) diiringi Pengerusi Sektretariat Gabungan Silat Pertahan, Sahruddin Isa (duduk, tiga kanan) dan Presiden Perkid Malaysia, Masridzi Sat (duduk, dua kanan) serta yang lain bergambar pada sidang media mengenai penyerahan memorandum ke Istana Negara di Pejabat Muafakat, Taman Melawati, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mengingatkan pihak-pihak tertentu agar tidak mengambil kesempatan ketika perjalanan NGO itu untuk menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong, di Istana Negara, Sabtu ini.

Ini kerana, apa yang dilakukan oleh NGO itu merupakan satu perkara penting melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara, kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Aminuddin Yahya.

“Benda-benda macam ini biasa berlaku dalam program yang lepas, ada pihak yang cuba sailang program kita untuk mengambil nama.

“Ini bukan masa untuk mengambil nama kerana ini ada kaitan dengan isu keselamatan dan kedaulatan.

“Saya harap kalau ada niat-niat daripada pihak tertentu untuk mempromosikan atau sabotaj minta tidak berbuat demikian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, pada satu sidang media Aminuddin meminta agar himpunan aman yang akan diadakan itu tidak dihalang oleh pihak tertentu yang cuba menggagalkan kebangkitan rakyat.

Dalam perkembangan sama Aminuddin berkata, pihaknya tidak meletakkan sasaran terhadap jumlah kehadiran anggota NGO pada hari berkenaan kerana ianya merupakan satu perkara yang relatif.

Apa yang penting jelas beliau ialah mesej yang hendak dibawa sampai kepada institusi tertinggi dalam negara, sekali gus dapat meredakan kebimbangan rakyat.

Katanya lagi, himpunan yang akan bermula dari Masjid Wilayah pada pukul 9 pagi hari berkenaan turut mendapat kerjasama yang baik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan IPD Brickfields yang mana mereka akan memantau perjalanan perarakan ke pintu 3, Istana Negara.

Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat permintaan oleh parti-parti politik sebelum ini yang mahu turut serta dalam himpunan itu namun ia terpaksa ditolak.

Ujarnya, pada hari tersebut himpunan berkenaan akan diketuai oleh Pembela dan Persatuan Silat Pertahan Perlembagaan (Pertahan) serta pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong akan dilakukan oleh wakil daripada kedua-dua pertubuhan berkenaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguma Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pada sidang media sama berkata, inisiatif yang diambil oleh kedua-dua pertubuhan berkenaan merupakan satu manifestasi selepas sejak kebelakangan ini terdapat banyak cabaran penolakan terhadap beberapa klausa dalam Perlembagaan oleh pihak-pihak tertentu sama ada secara tersurat atau pun tersirat.

Katanya, ia merupakan sebab serahan memorandum itu perlu dilakukan bagi menzahirkan kepada Yang Dipertuan Agong tentang apa kehendak dan nilai yang hendak ditekankan oleh rakyat.

“Mungkin menerusi memorandum yang akan dipersembahkan, Yang di-Pertuan Agong akan merujuk kepada jemaaah menteri atau menteri dan ia juga mungkin boleh dirujuk sesuatu perkara Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette