Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam bercakap kepada media pada Pelancaran Laskar Siber Malaysia di Riana Green East Condominium, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 12 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid telah menemui beberapa Ahli Parlimen UMNO bagi mendapatkan akuan bersumpah untuk menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya dikekalkan sebagai Perdana Menteri.

Katanya, tindakan itu dilakukan oleh Ahmad Zahid sejurus keputusan memecat beliau dibuat pada 7 Februari lalu.

Malah, beliau turut mendakwa akuan bersumpah itu kini sudah berada ditangan Dr Mahathir.

“Saya tahu perkembangan terkini bahawa Sarawak tidak mahu menyertai mereka dan saya difahamkan Tun Dr Mahathir agak sedih.

“Parti Warisan dikatakan demand tinggi. Ada kemungkinan besar bahawa usaha mereka untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang ini akan gagal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis pelancaran Laskar Siber Malaysia sebuah NGO, di sini, malam ini.

Dalam perkembangan sama, Lokman memberitahu,
Ahmad Zahid berbuat demikian bagi memastikan mereka berjaya untuk meluluskan agenda membentuk kerajaan melalui pintu belakang bersama Dr. Mahathir dan Pas.

Lokman sebelum ini mengaku bertanggungjawab merakam sendiri ucapan Ahmad Zahid berhubung langkah untuk membentuk gabungan bersama kerajaan Pakatan Harapan seperti mana dijelaskan Presiden UMNO itu dalam mesyuarat jawatankuasa Muafakat Nasional sebelum ditularkannya.

Beliau turut membantah niat Ahmad Zahid itu yang didakwanya mahu menjalinkan kerjasama membentuk kerajaan ‘pintu belakang’ dengan Dr. Mahathir.

Bagaimanapun, Lokman menegaskan, rakaman ucapan Ahmad Zahid itu bukan dibuat semasa mesyuarat MT UMNO seperti dakwaan sesetengah pihak.

Minggu lalu, timbul spekulasi kewujudan pakatan baharu apabila Lokman membidas Ahmad Zahid kerana mengakui parti itu perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir untuk survival politiknya dalam satu mesyuarat parti.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat lalu mengambil ketetapan menyerahkan kepada presidennya untuk membuat sebarang tindakan yang sesuai demi kepentingan parti dalam menghadapi situasi politik semasa.

Keputusan tersebut dicapai selepas Ahmad Zahid dalam mesyuarat tersebut membentangkan senario-senario yang mungkin berlaku berkaitan dengan senario politik yang sedang berlaku pada hari ini.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Org mcn dia ni, tak.patut ada dlm mana2 parti, bhaya utk rakyat, parti , bngsa, dan agma..patut lh umno pcat..org mcn mmg tak tahu nk ckp…tak pyh lh nk dptkan populariti murahan utk naik kn nama sendiri ya…

  2. Kenapa dia ni meroyan ke? Aku sedih lah dia ni kalau masuk mana-mana parti pun bawak penyakit. Jangan haraplah parti lain boleh terima. Sudahlahlah duduk diam – diam aje!

Comments are closed.