Saksi yang juga bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan percaya Rayyan Radzwill Abdullah mendapat sokongan daripada bekas Perdana Menteri dan isterinya untuk melaksanakan projek solar di 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak.

Jelas Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, rakan kongsi pemilik Jepak Holdings itu bukan sahaja dilihat sepasukan dengan pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor untuk menekannya mempercepatkan perolehan syarikat itu daripada Kementerian Kewangan.

Dalam masa yang sama Rayyan sering menggunakan nama Perdana Menteri ketika berkomunikasi dengannya menerusi aplikasi Whatsapp bagi mempengaruhinya.

Malah Rayyan,  kata saksi keenam pendakwaan itu sering menghubunginya dan pernah berkata Datuk Seri Najib Razak prihatin terhadap nasib murid dan guru-guru di kawasan luar bandar Sarawak bergelap akibat ketiadaan elektrik.

“Rayyan dan Datuk Rizal Mansor sering mendesak saya untuk mengangkat permohonan kelulusan rundingan terus bagi projek solar hibrid ke Kementerian Kewangan untuk kelulusan.

“Rayyan juga menggunakan nama ‘perdana menteri’ untuk mendesak saya segera dengan mesej berbunyi “just say you want the project“, “bos akan take it from there” dan “bos tahulah apa nak buat.

Rayyan sering menggunakan nama “PM” dan “bos” secara tukar ganti merujuk kepada Najib.

“Saya tidak ingat sama ada Rayyan ada menggunakan nama Datin Seri Rosmah untuk mempengaruhi saya,selain kerjasama dengan Rizam Mansor saya ingat Rayyan sering menggunakan nama PM dalam komunikasinya dengan saya.

“Rayyan pada peringkat awal menggunakan cerita sekolah Sarawak selalu bergelap dan PM very concerned dengan kebajikan murid dan cikgu yang berada dalam kegelapan,” katanya.

Namun beliau memberitahu mahkamah, sering memberikan respon secara berhati-hati kerana perlu mematuhi tatacara perolehan Kementerian Pendidikan dalam masa yang sama tidak mahu Rayyan mengadu kepada Najib dan mengatakannya sengaja melambatkan proses permohonan projek itu.

Bagaimanapun rakan kongsi pemilik Jepak Holdings itu disifatkannya sebagai ‘tidak faham bahasa’ apabila tetap mendesaknya.

“Sungguhpun saya telah memberikan jaminan Rayyan seperti tidak faham bahasa dan banyak menghantar mesej-mesej sehingga beberapa kali sehari kepada saya. Saya sentiasa membalas mesej-mesejnya dan memberi jawapan berhati-hati kerana tidak ingin Rayyan lapor kepada Najib dan mem (Rosmah Mansor).

“Saya percaya Rayyan mendapat sokongan Najib dan Rosmah dalam projek solar hibrid pada masa itu kerana Rayyan bekerjasama dengan Datuk Rizal Mansor,” tambahnya.

Selain menggesanya menganugerahkan pelaksanaan projek solar kepada Jepak Holdings, Rayyan juga ujar Madinah memintanya menamatkan semua kontrak dalam projek genset diesel yang sedia ada selain mengangkat cara rundingan terus kepada Kementerian Kewangan untuk syarikat itu.

Pada awal Jun 2016, Rayyan menghantar mesej kepadanya tidak berpuas hati terhadap cadangan Kementerian Pendidikan untuk Jepak Holdings hanya melaksanakan projek solar secara rintis sahaja buat permulaan.

“Rayyan juga menggunakan perkataan PM dan mempersoalkan kesetiaan Kementerian Pendidikan yang tidak melaksanakan minit arahan Perdana Menteri, itu menurut pemahaman saya.

“Beliau tidak mahu ujian rintis kerana ianya akan menangguhkan proses kelulusan projek tersebut kepada Jepak dan syarikat itu akan menanggung risiko kewangan sekiranya ujian rintis gagal,” katanya lagi.

Tidak lama beberapa waktu selepas mesej-mesej yang dianggap Madinah sebagai protes itu, Najib mengarahkan Datuk Mahdzir Khalid yang pada waktu itu Menteri Pendidikan untuk melaksanakan menggantikan projek genset diesel yang sedia ada dengan solar yang akan dilaksanakan Jepak Holdings.

“Saya juga mendapati minit Najib bertarikh 7 Jun 2016 dikeluarkan dalam jangka masa dekat dengan protes Rayyan berkenaan pelaksanaan projek solar hibrid secara ujian rintis. Ini mengukuhkan lagi kepercayaan saya abahawa projek itu mendapat sokongan PM seperti yang sering disebut oleh Rayyan,” kata Madinah.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan dan akan bersambung pada Isnin ini dengan keterangan Madinah yang belum habis dibacakan kesemuanya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rosmah tunjuk minat terhadap projek solar – Madinah