IPOH – Seorang remaja lelaki yang dihanyutkan air pasang ketika berjalan kaki menyeberangi Pulau Giam ke Teluk Nipah di Pulau Pangkor semalam, ditemui lemas, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, mayat Mohd Nazrul Helmi Nazri, 17, ditemui pasukan mencari kira-kira lima meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Katanya, pelbagai teknik telah dilakukan oleh pasukan mencari dan menyelamat antaranya menggunakan teknik renangan ‘surface searching’ untuk mengenal pasti lokasi sebenar selain teknik selaman dan pusaran air menggunakan bot.

“Mayat remaja itu timbul dan dibawa naik sebelum diserahkan kepada pihak polis pada pukul 12.14 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi melibatkan 14 anggota dan pegawai bomba, pasukan penyelamat di air (PPDA), polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dalam lingkungan dua kilometer telah dibahagikan kepada tiga sektor membabitkan 12 bot bomba, polis dan APM, sebelum operasi selesai pada pukul 12.40 tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.00 petang semalam, mangsa hilang dihanyutkan air pasang ketika berjalan kaki bersama dua rakannya semasa dalam perjalanan pulang dari Pulau Giam ke Teluk Nipah.

Namun dua rakannya berjaya diselamatkan oleh bot membawa pelancong yang berada di lokasi kejadian. – Bernama