Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Khas berhubung Kluster Penyakit Novel Coronavirus (Covid-19) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 14 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana kapal asing yang memohon untuk berlabuh di perairan negara sekiranya mereka enggan berkongsi maklumat yang diperlukan oleh pihak berkuasa tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kerajaan telah memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana kapal asing yang seumpama dengannya untuk berlabuh di perairan Malaysia.

“Ini kerana mereka enggan berkongsi maklumat penting yang diperlukan oleh pihak berkuasa Malaysia,” katanya pada sidang media di Putra Perdana, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Azizah memaklumkan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia mendapat permohonan untuk berlabuh daripada dua kapal persiaran dari Hong Kong bernama Westerdam dan Sapphire Princes.

Dalam pada itu, Wan Azizah memaklumkan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia mendapat permohonan dua kapal persiaran dari Hong Kong, Westerdam dan Sapphire Princes, untuk berlabuh di negara ini.

“Kapal Westerdam dengan muatan kira-kira 1,000 penumpang pernah masuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari.

“Bagaimanapun mereka telah mendapat kebenaran untuk berlabuh di Vietnam, semalam, manakala Sapphire Princes telah selamat berlabuh di Singapura,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Azizah menegaskan, permohonan dua kapal asing itu untuk berlabuh di perairan Malaysia tidak berbangkit lagi. – MalaysiaGazette