tidak wajar untuk Pas membawa usul berkenaan di Parlimen kerana parti itu adalah pembangkang.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Langkah Pas yang mahu membawakan usul undi percaya terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad agar dikekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal disifatkan sebagai gimik politik.

Penganlisis Politik, Prof Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tidak wajar untuk Pas membawa usul berkenaan di Parlimen kerana parti itu adalah pembangkang.

Malah katanya, perkara itu tidak pernah terjadi sebelum ini meskipun ia boleh dilakukan mengikut unbdang-undang.

“Kalau Pas dalam kerajaan, boleh. Biasanya usul yang hendak dibawa pun mestilah melalui Whip Parlimen dan perlu mendapat persetujuan daripada Speaker Dewan Rakyat sebelum dibentang. Ia boleh dibentang untuk mendapatkan sokongan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada satu sidang media bersama memaklumkan usul undi percaya akan dibawa ke Dewan Rakyat.

Menurutnya, usul itu bertujuan menyokong Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

Katanya, keputusan tersebut diambil setelah mendapati wujud beberapa pihak yang menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan perdana menteri itu namun sehingga kini tiasa usul undi tidak percaya dibuat oleh mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin menyingkap langkah yang hendak diambil oleh Pas berkenaan perkara itu, langkah sama pernah dilakukan oleh parti tersebut ketika membawakan usul berkaitan hudud namun sehingga kini ianya tidak mendatangkan kesan.

Ujarnya, perkara seperti itu hanya boleh terjadi sekiranya ada berlaku perpecahan dalam parti-parti politik di pihak kerajaan.

Tambah beliau, selalunya peralihan kuasa akan dibawa kepada Yang Dipertuan Agong dan bila Agong memastikan mempunyai cukup majoriti untuk menyokong seorang pemimpin barulah usul yang hendak dibawa boleh menjadi kenyataan.

“Bila ada perpecahan dalam PH dan betul ada Pakatan Nasional itu berlaku dan timbul pula konflik, ia boleh berlaku.

“Boleh wujud kerajaan baru yang diluar pilihan raya dan dilihat dalam bentuk demokrasi. Kemungkinan usul ini boleh berjaya untuk dibawa ke parlimen,” ujarnya. – MalaysiaGazette