Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menunjukkan ikan Rohu yang ditangkapnya ketika hadir pada Pertandingan Memancing Putrajaya 2020 sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kejadian sebahagian struktur kondominium runtuh di Taman Desa, Jalan Klang Lama semalam bukan disebabkan tanah atau hujan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Abdul Khalid Samad.

Bagaimanapun, katanya, siasatan sedangkan dijalankan pihak berkaitan bagi mengetahui punca kejadian yang menyebabkan empat pekerja binaan terperangkap bawah runtuhan itu dan mengalami kecederaan.

“Saya dimaklumkan kejadian ini bukan pasal tanah, bukan pasal hujan, dia runtuh kerana kemungkinan besar struktur bangunan yang dibina itu tetapi siasatan sedang berjalan.

“Saya sudah pergi ke tapak kejadian dan dimaklumkan mereka sedang menyiapkan kerja pembinaan tingkat enam, tingkat yang ada tempat letak kereta dan kolam renang.

“Ketika sedang dalam pembinaan, konkrit tiba-tiba runtuh. Bererti ada kemungkinan (puncanya) struktur. Tapak itu runtuh menimpa tingkat lima, empat, tiga, dua dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan memancing sempena sambutan Hari Wilayah peringkat Putrajaya hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, sebahagian struktur kondominium yang sedang pembinaan di Taman Desa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur runtuh.

Sehingga kini, empat mangsa dikesan terperangkap dalam runtuhan itu, dan seorang daripadanya berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Menurut Abdul Khalid, beliau bersyukur tidak ada nyawa terkorban dalam kejadian ketika hujan lebat dan angin kencang melanda ibu kota ketika itu.

“Alhamdulillah tak ada yang terkorban akibat kemalangan itu, ada dua orang pekerja yang cedera dan dalam keadaan okey, tak ada yang serius.

“Saya belum sempat berjumpa dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin kerana keadaan yang tidak mengizinkan ketika ini,” katanya.

Ditanya apakah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan projek pembinaan kondominium itu, Abdul Khalid mengiyakannya.

“Memang DBKL lulus permhonan, tetapi daripada segi proses pembinaan adalah di bawah Jabatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Kita hanya tengok pelan dan proses pembinaan bawah seliaan JKKP, walaupun DBKL bertindak memantau,” kata beliau. – MalaysiaGazette