Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin bersama Datuk Seri Azmin Ali dan Presiden Gerakan, Dominic Lau menggaul 'yee sang' pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Ampang di SJKC Kampung Baru Ampang, Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 16 FEBRUARI 2020

AMPANG – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kesal kerana terlampau banyak perkara yang dipolitikkan tanpa ada titik noktah termasuk dalam isu sokongan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa semua pihak supaya menghentikan budaya tidak sihat itu dan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam usaha-usaha mengukuhkan ekonomi negara agar rakyat dan negara mencapai kemakmuran.

Katanya, pada hari ini Malaysia dan juga dunia dikejutkan dengan cabaran Covid-19 di mana hampir setiap hari menyaksikan jumlah pesakit dan kematian meningkat angkanya melebihi 1,500 orang.

“Sekiranya situasi itu berpanjangan ia akan memberi kesan agak mendalam kepada ekonomi Malaysia dan dalam beberapa minggu ini sahaja Kementerian Kesihatan mengambil langkah proaktif pantas, tepat dan efisien memastikan wabak ini tak merebak sehingga jejaskan ekonomi akar umbi.

“Malah ia (Covid-19) juga sudah memberi kesan kepada industri pelancongan apabila banyak pembatalan tiket kapal terbang, tempat penginapan selain ada juga rakyat dalam dan luar negara berhati-hati bercuti dan melancong ke mana-mana.

“Dari pada keadaan ini kita dapat saksikan Covid-19 memberi kesan kepada industri pelancongan dan kalau tidak ditangani segera dan bijaksana, akibatnya ekonomi akan bertambah teruk,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata demikian semasa berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Ampang dan DUN Bukit Antarabangsa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru Ampang malam ini.

Ahli Parlimen Ampang yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin turut hadir pada majlis tersebut.

Azmin berkata, bagi menghadapi cabaran itu, kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi untuk memastikan suntikan dana tambahan berkenaan melancarkan aliran tunai dalam negara dan memberi kestabilan kepada ringgit dan ekonomi serantau sekaligus memakmurkan negara.

Beliau menyeru rakyat supaya menaruh kepercayaan sepenuhnya terhadap yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Dr. Mahathir yang pasti akan berjaya dengan sokongan padu masyrakat berbilang kaum.

Ujarnya, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil dewan perniagaan Cina pada minggu lalu dan menerima beberapa cadangan yang mampu membantu kerajaan berdepan dan mengharungi situasi ekonomi yang penuh mencabar ketika ini.

“Malam ini sementara kita menyambut Tahun Baru Cina, saya menyeru agar kita tumpukan sepenuh perhatian dalam membangunkan sebuah negara yang aman, makmur yang mana tumpuan khusus kepada pertumbuhan ekonomi agar ia beri kemakmuran bersama.

“Hentikan politiking yang ketika ini agak berpanjangan, banyak sangat politik, hentikan ia dan berikan sokongan kepada Perdana Menteri (Tun M) untuk memimpin negara supaya kembali digeruni dunia apatah ketika Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) nanti Malaysia dapat muncul sebagai ekonomi yang mampu bersaing di peringkat global,” ujarnya.

Di majlis sama beliau juga menyatakan keterujaannya melihat tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India dapat duduk sebumbung sebagai keluarga besar menyambut Tahun Baru Cina kali ini.

Tegas beliau, sambutan pada tahun ini sekali lagi menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara unik walaupun mempunyai pelbagai kaum, agama dan latar belakang berbeza yang merupakan ini satu aset untuk Malaysia terus maju ke depan.

“Walaupun ada pihak bangkitkan isu agama dan perkauman, tapi saya bangga rakyat malaysia hari ini matang dan tolak politik perkauman itu dan mahu hidup makmur, aman sebagai satu keluarga besar.

“Selepas 60 tahun merdeka, Kemajuan Malaysia ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 perlu memastikan setiap rakyat tak kira latar belakang ikut pembangunan termasuk Sabah dan Sarawak,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast