Karya Ahmad Fuad Osman yang menunjukkan mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dipamerkan semula.

KUALA LUMPUR- Akhirnya Balai Seni Negara bersetuju mempamerkan semula empat karya Ahmad Fuad Osman sehingga pameran berkenaan tamat akhir bulan ini.

Balai Seni Negara dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, pihaknya juga akan mengadakan program sokongan bersama pelukis dan kurator Pameran At The End of the Day, Even Art is Not Important pada 21 Februari ini.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai diminta supaya tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pameran berkenaan.

“Pameran itu dibuka setiap hari, dari jam 10 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Kontroversi tercetus apabila empat karya Ahmad Fuad yang bertajuk Untitle 2012, Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody, Imitating the Mountain 2004 dan Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik diturunkan kira-kira dua minggu sebelum ia berakhir sedangkan pameran berkenaan telah bermula sejak 28 November tahun lepas.

Ahmad Fuad yang tidak berpuas hati dengan tindakan Balai Seni Negara itu meminta supaya pameran tersebut ditamatkan.

Balai Seni Negara bagaimanapun tetap mempertahankan tindakannya menurunkan karya tersebut.

Katanya, ia mempunyai hak untuk menurunkan mana-mana karya yang menyentuh individu, agama, politik, bangsa, adat dan negara serta mengelak ia disalah erti.- MalaysiaGazette