Lim Guan Eng
BUTTERWORTH – Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengadakan pertemuan dan sesi dialog dengan pemain industri terutamanya yang terjejas akibat COVID-19 untuk mendapatkan maklum balas impak ekonomi terhadap perniagaan mereka.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pertemuan itu diadakan secara tertutup dan pihak industri boleh memberikan pendapat mereka untuk pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Feb ini.

“Terdapat pelbagai langkah…Saya tidak akan memberikan butirannya jika tidak, tidak ada maknanya membuat pengumuman rasmi pada 27 Februari ini. Sila tunggu Perdana Menteri membuat pengumuman penuh dan lengkap.

“Tetapi kami bersedia untuk menerima sebarang cadangan. Seperti yang saya katakan, saya akan mengadakan sesi dialog dengan beberapa industri tetapi sesi itu tertutup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Restoran McDonald’s pandu lalu Bagan Ajam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pakej rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan oleh Dr Mahathir pada akhir bulan ini.

Lim sebelum ini berkata, pakej rangsangan ekonomi tersebut bukanlah belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar-dasar Belanjawan 2020 tetapi merupakan bantuan kepada industri yang terjejas.

Sementara itu, Lim berkata,  inisiatif  #MalaysiaKerja (Malaysians@Work) yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka yang menganggur akan dilaksanakan mulai April ini.

Beliau berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diberi tanggungjawab penuh untuk menguruskan agihan peruntukan sebanyak RM6.5 bilion untuk menjayakan program itu.

Katanya menerusi inisiatif tersebut sebanyak 350,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dapat diwujudkan sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

“Kerajaan mahu mewujudkan atau menjana peluang pekerjaan kepada mereka yang telah lama menganggur dan program #Malaysiakerja itu akan dibuka pendaftaraan pada April ini.

“Insentif yang akan diberikan ialah RM500 setiap pekerja kepada mereka yang telah lama menganggur supaya lebih bermotivasi manakala majikan sebanyak RM300 sebulan untuk menggalakkan mereka mengambil pekerja tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette