Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden Gerakan, Dominic Lau pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Ampang di SJKC Kampung Baru Ampang, Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 16 FEBRUARI 2020

AMPANG – Hasil siasatan awal insiden bangunan tempat letak kereta enam tingkat dalam pembinaan yang runtuh di tapak pembangunan projek Kondominium The Adress 2 setinggi 37 tingkat di Taman Desa, Jalan Klang Lama Jumaat lalu dijangkakan petang esok.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau akan memberi perkembangan terkini mengenai punca insiden itu sejurus selepas sesi mesyuarat esok.

“Perkembangan baharu esok saya akan bermesyuarat pukul 2.30 petang di KPKT bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan pemaju akan meneliti balik punca kejadian.

“Selepas mesyuarat esok saya akan memberi hasil dapatan awal,” katanya kepada pemberita ketika ditanya tindakan lanjut kementerian susulan kejadian itu 14 Februari lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang hadir bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyambut Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Ampang dan DUN Bukit Antarabangsa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru Ampang malam ini.

Turut hadir memeriahkan majlis Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau di majlis yang dibanjiri kira-kira 2,000 orang pelbagai kaum.

Ditanya mengenai bantahan yang pernah dibangkitkan oleh penduduk berhampiran tapak binaan itu tahun lalu, Naib Presiden PKR itu juga menjelaskan bahawa beliau belum lagi membuka fail kes tersebut.

“Saya tak buka lagi fail, tapi saya tengah tunggu laporan. esok baru masuk pejabat dan saya akan lihat bantahan itu.

“Tapi kalau tak silap saya, bantahan itu mengenai jalan masuk keluar ke kondiminium itu menghalang kondominium mereka, bukan pasal pembinaan projek kondominium itu (yang runtuh). Tapi tidak mengapa, saya akan tengok (teliti) semua sekali,” katanya.

Dua pekerja di tapak binaan cedera dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin. -MalaysiaGazette