Azrizan Ahmad.

KUALA LUMPUR – Penyerang muda pasukan Sarawak, Azrizan Ahmad mencuri perhatian dalam aksi kelayakan Piala FA 2020 selepas berjaya meledak empat gol, sekali gus membantu pasukannya mara ke pusingan pertama kelmarin.

Sarawak berjaya mengharungi pusingan kelayakan dengan kemenangan besar 6-1 ke atas pasukan Liga M4, Red Spade United FC.

Seawal minit ke-11, Azrizan mula memecah kebuntuan dengan gol pertamanya sebelum dia terus menambah duka pasukan lawan pada separuh masa kedua menerusi dua lagi jaringan untuk mencipta hatrik.

Jelas bekas penyerang Protap FC ini, dia berpuas hati apabila dapat menampilkan aksi bertenaga pada penampilan pertamanya bersama Sarawak dengan harapan ingin terus membantu pasukan itu mara lebih jauh dalam saingan Piala FA ini.

“Saya memang teruja apabila diberi peluang untuk menyertai pasukan Sarawak pada musim ini dan berjaya tampilkan aksi terbaik untuk perlawanan pertama.

“Semua tahu pasukan Sarawak dahulunya sebuah pasukan hebat dan bukan calang-calang, jadi saya berazam ingin bantu pasukan ini untuk kembali mencipta nama selepas jatuh ke Liga M3 musim ini.

“Selain itu, saya juga ingin pastikan prestasi saya terus konsisten bersama Sarawak untuk terus membantu pasukan harungi saingan Piala FA,” katanya.

Sarawak selaku pasukan yang pernah menjuarai Piala FA 1992 pastinya enggan kecundang awal dalam saingan ini untuk sekurang-kurangnya mengatasi pencapaian musim lalu apabila tersingkir awal pada pusingan kedua.

Menurut pengendalinya, Sam Timbe, persiapan yang cukup rapi perlu dilakukan sambil menjangkakan perlawanan yang lebih sukar akan dihadapi mereka dalam pusingan pertama nanti.

“Saya berbangga dengan barisan pemain pada perlawanan pertama ini dan kerja keras perlu dilakukan untuk menghadapi pusingan pertama.

“Saya juga tidak jangka untuk mereka meledak enam gol pada aksi kali ini dan harap prestasi yang ditampilkan bertambah baik selepas ini.

“Baik dalam saingan Liga M3 dan Piala FA, saya mahu setiap pemain terus berusaha untuk membawa pasukan Sarawak kembali di atas pada musim ini,” katanya.

Sebanyak enam lagi baki perlawanan akan berlangsung pada hari ini dalam misi merebut slot ke pusingan pertama Piala FA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast