TERKINI : Hasil Siasatan Awal Binaan Runtuh Dijangka Diketahui Esok – Zuraida Kamaruddin

AMPANG – Hasil siasatan awal insiden bangunan tempat letak kereta enam tingkat dalam pembinaan yang runtuh di tapak pembangunan projek Kondominium The Adress 2 setinggi 37 tingkat di Taman Desa, Jalan Klang Lama Jumaat lalu dijangkakan petang esok.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau akan memberi perkembangan terkini mengenai punca insiden itu sejurus selepas sesi mesyuarat esok.

“Perkembangan baharu esok saya akan bermesyuarat pukul 2.30 petang di KPKT bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan pemaju akan meneliti balik punca kejadian.

“Selepas mesyuarat esok saya akan memberi hasil dapatan awal,” katanya kepada pemberita ketika ditanya tindakan lanjut kementerian susulan kejadian itu 14 Februari lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang hadir bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyambut Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Ampang dan DUN Bukit Antarabangsa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru Ampang malam ini.