Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media berkenaan perkembangan terkini Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 18 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Seramai 107 rakyat Malaysia dan keluarga yang dibawa balik dari Wuhan pada 4 Febuari lalu disahkan negatif Covid-19 dan mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua mereka dibenarkan pulang selepas ujian dijalankan sebanyak dua kali dan melepasi tempoh pemantauan di pusat pengawasan selama 14 hari.

“Mereka yang dibenarkan pulang hari ini termasuklah dua kes yang sebelum ini positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban iaitu kes yang ke-11 dan ke-12,” katanya ketika sidang media perkembangan harian Covid-19 di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan selain itu juga mengesahkan sehingga hari ini tiada kes terbaharu dilaporkan.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan juga kekal iaitu sebanyak 22 kes dengan hanya 11 pesakit masih dirawat.

“Daripada 22 kes dilaporkan 11 kes dalam kalangan Patient Under Investigation (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat, dua dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan,” tambahnya.

Selain itu, Dzulkefly turut memaklumkan beliau sempat mengadakan telesidang dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus hari ini.

Dalam perbualan itu, WHO katanya, mencadangkan agar Malaysia memperkukuhkan  pemantauan dengan menjalankan ujian Covid-19 kepada pesakit Severe Acute Respotory Infection. – MalaysiaGazette