Syed Hamid Jaafar Albar

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Parti, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah membatalkan persidangan tahunan bagi dua cawangan iaitu Bahagian Kuala Terengganu dan Bahagian Teluk Intan yang telah bersidang pada 15 Februari lalu.

Berikutan itu, persidangan cawangan-cawangan di dalam bahagian-bahagian ini hendaklah diadakan semula di dalam tempoh persidangan yang ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi bagi persidangan cawangan-cawangan (15 Februari 2020 -29 Mac 2020).

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, persidangan cawangan-cawangan ini hendaklah dikawal selia oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti peringkat Pusat dengan kerjasama Jawatankuasa Pemilihan Parti Peringkat Negeri.

“Jawatankuasa ini mendapati bahawa sebahagian besar masalah yang ditimbulkan adalah berkait dengan kegagalan untuk mengikut peraturan persidangan seperti yang ditetapkan oleh parti.

“Justeru, ahli-ahli adalah diingatkan bahawa mereka tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai persidangan kerana keputusan muktamad hanya boleh dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti peringkat Pusat.

“Kenyataan-kenyataan yang tidak melalui saluran parti dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan dan konflik sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Syed Hamid juga mengumumkan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti telah menetapkan 15 Februari hingga 29 Mac 2020 untuk cawangan-cawangan mengadakan persidangan tahunan masing-masing.

Seramai 363,173 orang ahli yang berdaftar layak menghadiri persidangan di 2,950 cawangan di dalam 189 bahagian.

Sejajar dengan arahan tersebut, sebanyak 538 cawangan di 37 bahagian di seluruh negara telah mengadakan persidangan masing-masing.

Menurutnya, keputusan pemilihan di persidangan-persidangan ini tertakluk kepada penelitian dan pengesahan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti.

Tambahnya, ahli-ahli yang tidak berpuas hati dengan perjalanan persidangan boleh membuat bantahan secara bertulis kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti dengan menyertakan aduan secara jelas termasuk bukti-bukti yang berkenaan.

Manakala bantahan hendaklah disampaikan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti tidak lebih daripada tujuh hari selepas
tarikh persidangan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. After all, the so-called claim that PH is perfect is not true. PH is on the verge of extinction.

Comments are closed.