KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof memberi penjelasan kepada rakyat berhubung penutupan empat operasi hotel milik Tabung Haji (TH).
Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas menzahirkan kebimbangan selepas penularan berita mengenai penamatan operasi hotel itu, yang telah tujuh tahun beroperasi dalam industri perhotelan dan hospitaliti.
Kata beliau, sebagai sebuah badan amanah untuk menguruskan rukun Islam kelima, penutupan operasi hotel berkenaan merupakan satu lagi lambang ancaman dan kekecewaan setelah pelbagai berita kedengaran.
“Yang pastinya berita itu tidak menyebelahi para pendeposit yang mengharapkan urusan rukun Islam mereka terlaksana sebaiknya.
“Bermula dengan penjualan aset yang menjadi tanda tanya dengan sistem SPV, pengumuman dividen terendah dalam sejarah, diikuti pula persoalan mengenai penarikan subsidi haji yang sehingga kini masih tiada kata putus.
“Kini, operasi empat hotel pula akan dihentikan tidak lama lagi. Apa lagi alasan yang akan diumumkan kerajaan atas kelemahan pentadbiran sendiri?,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Ahmad Fadhli, Pemuda Pas mendesak Dr. Mujahid selaku menteri agama, bertanggungjawab dan memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat berkenaan penutupan operasi hotel itu.
Ini katanya, soal kepentingan awam, terutama sekali hotel berkenaan adalah aset umat Islam yang mencarum dalam Tabung Haji.
“Jangan berlepas tangan, jangan jadi penakut dan turun berikan penjelasan kepada rakyat secara berdepan.
“Sekiranya menteri gagal memberi penjelasan yang tuntas dalam isu ini, Pemuda Pas mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat apa masalah yang berlaku dalam pengurusan TH seperti disarankan Muafakat Nasional (MN).
“Ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang skandal, penyelewengan atau salahlaku melibatkan pengurusan Tabung Haji, khususnya berkenaan penjualan aset-aset tersebut,” katanya.
Di samping itu, kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu, Pemuda Pas juga menyarankan diwujudkan suatu pelan pemulihan yang lebih holisitik dari sudut strategi pemasaran, pentadbiran dan penyusunan semula pelan bisnes operasi hotel.
“Kita harus melihat keutamaan kepada perolehan manfaat dan pulangan dari aset-aset tersebut, berbanding mengambil jalan selamat menutup operasinya yang menghilangkan terus peluang mendapat keuntungan.
“Pemuda Pas mengingatkan kerajaan jangan bersikap sambil lewa dalam menguruskan aset yang memberi kepentingan kepada umat Islam. Kita akan terus bersuara dan menegur kerajaan dalam mempertahankan kepentingan umat Islam di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
TH dibina oleh orang2 Islam Melayu terdahulu! Walaupun dividen tak tinggi mana, tetap ramai yang mahu melabur kerana sayangkan institusi tersebut. Dividennya bersih tanpa unsur riba dan telah ditolak zakat, halalan toiyyiban! Diberkati!
Kini semua aset2 mahu dilelong oleh penyangak2 pakatan hancing?
Pas dan putar belit issue mmg sudah sebati…parti politik.
Puak2 ni lupa yg segalanya telah diaudit oleh PWH dan keputusan audit adalah telus. Cuba baca pandangan pakar ekonomi Islam Dr Zaharuddin Abd Rahman.
Umat Islam kena faham apakah Pas masih berjuang atas dasar Islam atau politik semata2?