Sebuah bas yang membawa kakitangan perubatan meninggalkan kapal persiaran Diamond Princess yang dikuarantin di perairan Yokohama. fotO Agensi

TOKYO – Kira-kira 500 penumpang kapal persiaran Diamond Princess yang dikuarantinkan di perairan Yokohama akan dikeluarkan pada hari ini.

Tetapi mereka yang berkongsi bilik dengan penumpang yang disahkan positif Covid-19 perlu terus berada di atas kapal.

Kapal yang diuruskan oleh Carnival Corp telah dikuarantinkan di Yokohama sejak 3 Februari selepas seorang lelaki yang mendarat di Hong Kong sebelum mengembara ke Jepun disahkan positif wabak itu.

Lebih daripada 540 orangĀ  daripada jumlah keseluruhan 3,700 orang penumpang kapal tersebut disahkan terkena virus itu.

Mereka yang dijangkiti telah dipindahkan ke beberapa hospital.

Separuh daripada penumpang kapal berasal dari Jepun.

Media NHK melaporkan kira-kira 500 orang penumpang akan dikeluarkan hari ini dan proses bakinya diselesaikan pada hari Jumaat.

Amerika Syarikat telah membawa balik lebih daripada 300 rakyatnya pada hari Isnin dengan dua pesawat sewa serta enam rakyat Korea Selatan dan salah seorang pasangan warga Jepun ke Seoul dalam penerbangan awal hari Rabu.

Kanada, Australia, Itali dan Taiwan juga sedang bersiap-sedia membawa balik rakyat masing-masing.

Jepun, yang menduduki kedua tertinggi di dunia selepas China dalam jumlah kes virus yang disahkan, dikritik kerana gagal mengendalikan kuarantin kapal pesiaran itu, walaupun Tokyo mempertahankan operasi kuarantin dan ujian di atas kapal.

Selain itu, kapal-kapal pelayaran dan warga Jepun yang dibawa pulang dari bandar Wuhan, kira-kira 60 kes jangkitan domestik telah disahkan di Jepun, termasuk 22 di Tokyo, menurut NHK. – MalaysiaGazette