Tiada lagi caj tambah nilai dikenakan di stesen Shell di sepanjang Lebuh raya PLUS dan LPT. Foto: Shell Malaysia

KUALA LUMPUR- Shell Malaysia menghapuskan caj 50 sen yang dikenakan untuk tambah nilai Toucn ‘n Go di semua stesennya di sepanjang Lebuh raya PLUS (NKVE dan ELITE) serta Lebuh raya Pantai Timur (LPT).

Menurut Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan Shell Timur Sdn. Bhd., Shairan Huzani Husain, syarikat tersebut turut merancang untuk menghapuskan caj berkenaan di semua stesen Shell yang lain.

“Kami memahami cabaran kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

“Kami faham bagaimana sukarnya untuk menyimpan apabila makanan, pengangkutan, utiliti dan pendidikan menjadi sebahagian besar daripada perbelanjaan setiap dari kita.

“Ini mendorong kami untuk membantu rakyat Malaysia untuk lebih banyak menyimpan dan bergembira,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Setakat ini, terdapat lebih 25 stesen Shell di seluruh negara yang tidak lagi mengenakan caj 50 sen itu.- MalaysiaGazette