Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berhubung tindakannya yang membalas sebuah tweet yang mengutuk dan mendedahkan kaitan pemimpin-pemimpin DAP dengan
Kumpulan Pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, berdasarkan tweet yang ditulis oleh Kasthuri apakah beliau mahu mengatakan bahawa LTTE bukan kumpulan pengganas.

“Adakah ini ada kaitan dengan penahanan rakan-rakan wakil rakyat dari partinya sendiri (DAP) yang ditahan itu?

“Apakah ini (pesanan) bahawa beliau mahu mendesak agar LTTE digugurkan dari senarai pengganas yang disenaraikan oleh kerajaan Malaysia?” soal beliau menerusi kenyataan hari ini.

Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menegaskan, jika benar telahan tersebut, maka ia perlu dipandang serius oleh semua pihak, terutamanya pihak berkuasa kerana kemungkinan keselamatan dan keamanan negara terancam ekoran isu berkenaan merupakan perkara yang tidak boleh dipandang ringan sebagaimana kegiatan dan pemikiran komunis.

“NGO-NGO Islam dalam gabungan Pembela dan Persatuan-Persatuan Silat dalam gabungan (Pertahan) baru sahaja menyerahkan memorandum 152 mengenai isu sebegini pada Sabtu yang lalu.

“Inilah antara bukti yang membenarkan bahawa ancaman keselamatan dalam negeri adalah semakin merisaukan dan semakin menjadi-jadi,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan drastik dan tegas dalam isu-isu yang melibatkan keselamatan sebegini.

“Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur baru mahu menyesal,” tambahnya. – MalaysiaGazette