KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjalinkan kerjasama dengan enam bank pelaburan dan penasihat kewangan korporat untuk membolehkan penyediaan khidmat nasihat kepada vendor sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang berhasrat melaksanakan Tawaran Awam Awal (IPO).

Justeru, syarikat minyak dan gas negara baru-baru ini menyerahkan Memorandum Persefahaman (MoU) kepada enam bank pelaburan, iaitu KAF Investment Bank Bhd, Kenanga Investment Bank Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, DWA Advisory Sdn Bhd, MainStreet Advisers Sdn Bhd dan Wyncorp Advisory Sdn Bhd.

Naib Presiden Pemerolehan Kumpulan Petronas, Liza Mustapha, berkata, penyenaraian awam akan memberi banyak manfaat kepada vendor OGSE, terutama yang berhasrat memperluaskan tawaran perniagaan di dalam bidang tumpuan pelabur, termasuk teknologi baharu, pendigitalan, kepelbagaian dan pertumbuhan luar negara.

“Apabila disenaraikan, vendor OGSE akan mengekalkan piawaian tinggi pengurusan, melaksanakan tadbir urus baik dan akan sentiasa mencari peluang untuk berkembang, sekali gus meningkatkan kemampanan dan daya tahan perniagaan masing-masing.

“Profil awam dan kebolehlihatan vendor dapat ditingkatkan sebaik sahaja mereka disenaraikan, membolehkan pertumbuhan pesat seterusnya di Malaysia dan luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Inisiatif ini merupakan sebahagian program ‘PETRONAS LESTARI: Road To Bursa’ yang dilancarkan pada Mei 2019 dengan kerjasama Bursa Malaysia bertujuan menggalakkan penyenaraian vendor OGSE yang berpotensi di bursa tempatan serta memperkukuh daya tahan dan kemampanan vendor berkenaan.

MoU itu bertujuan memudahkan pemilihan penasihat bagi vendor OGSE, yang akan menyokong mereka dengan tawaran pra-IPO menarik, dan nasihat IPO bagi Platform Pemecut Usahawan Utama, platform bagi perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat pemula niaga untuk mengumpul modal di Bursa Malaysia.

MoU berkenaan bagaimanapun tidak mengehadkan vendor OGSE daripada memilih dan bekerjasama dengan bank pelaburan dan penasihat kewangan korporat lain.

Setakat ini, Petronas menjalankan sesi taklimat IPO dan bimbingan satu dengan satu untuk kira-kira 60 vendor yang berpotensi memenuhi keperluan IPO selain terus mengenal pasti vendor yang berpotensi cerah untuk disenaraikan di Bursa Malaysia. – MalaysiaGazette