Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyaksikan perjanjian memorandum kerjasama diantara Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr. Noorsaadah Abdul Rahman (kiri) dengan Pengarah Urusan Johnson Johnson (JJ), Chin Keat Chyuan (kanan) pada Program Kesihatan Mental Universiti Malaya Foyer di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak  yang mendakwa Universiti Malaya (UM) memaksa pelajarnya menjadi sukarelawan untuk mengendalikan pelajar China yang baru pulang dari negara berkenaan bebas mengemukakan bukti.

Namun universiti itu menerusi Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr Noorsaadah Abdul Rahman kekal dengan pendirian bahawa tidak ada paksaan daripada pihak mereka.

“Pihak Kementerian Kesihatan ada datang dan periksa mereka (kumpulan sukarelawan pelajar UM). Tiada isu dan mereka sihat selain pengawasan turut dilakukan ke atas mereka.

“Tiada bukti mereka (kumpulan sukarelawan pelajar UM) dipaksa setakat ini. Bagaimanapun, mereka (Kesatuan Mahasiswa UM) boleh tampil memberi bukti mereka dipaksa, jika ada,” katanya ketika ditemui di Dewan Tunku Canselor UM selepas perasmian Inisiatif Kesihatan Mental dengan kerjasama Johnson and Johnson Sdn Bhd. di sini hari ini.

Isu itu timbul apabila Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mendakwa pengurusan universiti cuba menutup kebenaran dengan berdalih dalam isu sukarelawan pelajar tempatan mengendalikan pelajar China yang baru pulang dari negara berkenaan.

Presiden KMUM, Mohd Akmal Hazieq dilaporkan berkata, pengurusan UM tidak sepatutnya menggunakan alasan sukarelawan bagi membenarkan tindakan mereka menggunakan mahasiswa tempatan, meskipun untuk tujuan pendaftaran.

Mohd Akmal mendakwa, sukarelawan mahasiswa terbabit juga diarah mengangkat 500 bungkusan makanan setiap kali waktu makan untuk diedarkan kepada pelajar dari China yang jelas bertentangan dengan tugas asal mereka.

Justeru, pihak pengurusan UM digesa memohon maaf kepada mahasiswa terbabit kerana isu keselamatan dan kesihatan mereka bukan sesuatu yang boleh dikompromi.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilapor sebagai berkata, KKM tidak dimaklumkan oleh pihak UM akan menggunakan khidmat sukarelawan dalam kalangan penuntutnya untuk mengendalikan pelajar China yang baru pulang dari negara berkenaan.-MalaysiaGazette