Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Isteri Datin Seri Rosmah Mansor. foto MALAYSIAGAZETTE
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Isteri Datin Seri Rosmah Mansor. foto MALAYSIAGAZETTE

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor akan hadir ke Bukit Aman esok untuk memberi keterangan berhubung rakaman audio Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata, rakaman keterangan mereka akan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

“Ya, kedua-dua mereka (Najib dan Rosmah) akan dipanggil pada pagi esok,” katanya hari ini.

Sebelum ini, polis mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan pendedahan 9 rakaman audio oleh SPRM yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Mereka yang dirakam percakapan termasuk ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua setiausaha sulit Najib iaitu Shukry Mohd Salleh dan bekas pegawai khas beliau, Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad serta SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.- BERNAMA