Saksi ke-10 Razak Othman hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 20 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Razak Othman berkata beliau telah mengikut Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin untuk membeli dua beg berwarna hitam di pusat membeli belah Sogo yang digunakan untuk mengisi wang tunai berjumlah RM5 juta.

Razak berkata, Saidi tidak banyak bercerita tentang wang itu, sebaliknya hanya memintanya membantu mengisi dua beg itu dengan kepingan nota RM100.

Selang hampir tiga bulan, Saidi memberitahu Razak bahawa wang itu sebenarnya telah diberikan kepada seseorang yang bernama ‘RM’ namun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut.

“Pada saya Saidi cuba merahsiakan sesuatu dari saya, jadi saya juga tidak bertanya dengan lebih lanjut tentang perkara tersebut sejak itu.

“Saya hanya mengikut sahaja ketika Saidi meminta tolong saya mengikutnya ke Maybank yang terletak di Medan Tuanku sebelum mengeluarkan wang tunai tersebut, sebagai seorang kawan yang saya kenal lebih 10 tahun, saya hanya ikut tanpa banyak soal.

“Pemandu Saidi yang memandu kereta Range Rover juga ada sama.

“Dua beg itu kemudian di bawa ke sebuah bangunan berhampiran kompleks membeli-belah Pavilion, kemudian masukkan beg-beg itu ke dalam sebuah kenderaan MPV lain.

“Saya tidak pernah tanya apa-apa tentang perkara tersebut, untuk siapa atau tujuannya. Hanya selepas beberapa bulan, kata Saidi wang itu untuk ‘RM’, itu sahaja,” katanya yang merupakan rakan kongsi Jepak Holdings pada hari ke-10 perbicaraan di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Razak yang merupakan saksi ke-10 pendakwaan kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Saidi dan Razak juga berkongsi perniagaan di bawah syarikat Trace Tag Sdn Bhd dengan Saidi sejak 2016.

Ketika membacakan keterangan itu, Rosmah yang duduk di kandang dengan mengenakan baju kurung berwarna kuning kelihatan tenang.

Sebelum ini, pemandu peribadi Saidi, Shamsul Rizal Sharbini memberitahu mahkamah bagaimana beliau diarah memasukkan wang tunai ke dalam beg sebelum di hantar ke kediaman di Pavilion serta Langgak Duta.

Shamsul juga mendakwa bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sedia menunggu di luar lobi menanti mereka sebelum beg-beg berisi wang tunai itu tiba.

Rosmah berhadapan tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan ditangguhkan dan akan bersambung pada 9 Mac hadapan selepas pasukan peguam bela meminta masa untuk mengkaji keterangan Razak sebelum pemeriksaan balas dilakukan. – MalaysiaGazette