Najib Razak bersama Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR –  Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini.

Kedua-duanya dipanggil untuk dirakam keterangan berkaitan pendedahan rakaman audio oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam satu sidang media di Putrajaya pada 8 Januari lalu.

Ia antara lain melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad serta SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Najib dan Rosmah dijangka hadir untuk dirakam keterangan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Jalan Duta pukul 2.30 petang.

Artikel berkaitan: Najib, Rosmah hadir Bukit Aman beri keterangan

Kedua-duanya juga hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pukul 10 pagi tadi untuk dirakam keterangan bagi siasatan kes yang sama. – MalaysiaGazette