Peguambela Rosmah Rajivan Nambiar dan Reza Rahim masuk Bukit Aman pagi tadi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke Bukit Aman pagi ini untuk memberi keterangan kepada polis.

Bekas Perdana Menteri dan juga bekas wanita pertama negara itu masuk ke ibu pejabat Polis Diraja Malaysia itu tepat jam 10 pagi tadi.

Pasangan itu menaiki kereta Vellfire hitam dan Proton Perdana hitam bernombor pendaftaran TN50.

Terdahulu sebuah kenderaan utiliti sports (SUV) warna perang model Kia dipercayai pengawal peribadi Najib memasuki pintu utama Bukit Aman pukul 9.25 pagi sebelum seorang individu  menuju ke kaunter Keselamatan untuk berurusan.

Kemudian, peguam bela Rosmah iaitu Rajivan Nambiar dan Mohamed Reza Rahim dari Firma Guaman Reza Rahim & Rajivan Advocates Solicitor tiba ke Pondok Pengawal Polis Bukit Aman pukul 9.40 pagi memasuki Bukit Aman.

Najib dan Rosmah hadir menerusi pintu B Bukit Aman menyebabkan lebih 30 orang pemberita, jurufoto dan jurukamera daripada pelbagai agensi media tempatan yang menunggu seawal 8 pagi lagi di bawah pokok gergasi hadapan Pondok Pengawal Keselamatan premis itu tidak dapat merakam gambar mereka.

Kedua-dua mereka diminta hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berhubung pendedahan rakaman audio perbualan yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal Januari lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Malaysia Gazette mengesahkan kedua-dua mereka akan dirakam keterangan hari ini oleh pegawai pasukan D5 hari ini berhubung rakaman audio yang tular dalam media sosial.

“Ya mereka akan datang selepas 9 pagi dan akan diambil keterangan oleh D5 di Bukit Aman.

“Keterangan akan direkodkan daripada mereka mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya secara ringkas.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tempoh masa yang akan diambil bagi melengkapkan rakaman keterangan tersebut.

Pada Isnin lepas, Pengarah JSJ Komisioner Datuk Huzir Mohamed memaklumkan, Najib dan Rosmah akan dirakam keterangan dan diselesaikan siasatan berhubung rakaman audio berkenaan sebelum akhir Februari ini.

Minggu lalu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Datuk Mohd Roze Shaari
pula menjelaskan polis sedang dalam proses mendapatkan tarikh sesuai daripada Ahli Parlimen Pekan itu serta isterinya bagi membolehkan kedua-duanya hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan.

“”Polis akan ambil keterangan mereka (Najib dan Rosmah) minggu depan namun kita sedang tunggu tarikh sesuai untuk mereka hadir ke Bukit Aman memandangkan mereka sibuk dengan proses mahkamah,”katanya.

Mohd Roze juga menjelaskan polis sebelum ini telah merakamkan keterangan daripada 12 saksi bagi menyiasat pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa melibatkan konspirasi jenayah peringkat tertinggi.- MalaysiaGazette