David Pannick akan mewakili Man City mencabar keputusan UEFA di mahkamah CAS.

LONDON – Manchester City telah mendapatkan khidmat peguam untuk mencabar keputusan Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) yang menggantung kelab itu beraksi dalam kejohanan di Eropah selama dua tahun.

Peguam itu akan dibayar £20,000 sehari bagi menguruskan kes tersebut di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland, lapor Daily Mail.

David Pannick dikenali sebagai salah seorang peguam terbaik di United Kingdom yang pernah mengendalikan kes Brexit.

Peguam berusia 63 tahun itu pernah mewakili Gina Miller dalam dua urusan rasmi apabila wanita itu mencabar Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dan bekas Perdana Menterinya Theresa May berhubung Brexit.

Pada 2016, Pannick mewakili Miller bagi mencabar perundangan menghalang Theresa May membawa keluar Britain dari Kesatuan Eropah tanpa kelulusan Parlimen.

Pengurusan tertinggi City menaruh harapan Pannick boleh menggunakan kepakarannya untuk membantu kelab berkenaan keluar daripada masalah yang dihadapinya.

Pada minggu lalu, badan kawal selia bola sepak Eropah mengumumkan kelab Inggeris itu digantung dua tahun daripada sebarang kejohanan peringkat Eropah selain didenda £25 juta pound kerana melanggar Peraturan Kewangan Adil (FFP).

Kesalahan pertama Man City dikaitkan dengan pengubahsuaian jumlah pendapatan hasil penajaan dalam akaun kewangan tahunan antara 2012 hingga 2016.

Kelab itu juga didakwa gagal memberi kerjasama dalam siasatan yang dikendalian jawatankuasa Uefa.

Berikutan itu, City menyatakan kelab itu akan mencabar keputusan Uefa dan berharap ia dapat diselesaikan sebelum akhir musim ini. – MalaysiaGazette