Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Malaysia berusia 40 tahun yang disahkan positif COVID-19 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang petang semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan wanita berkenaan adalah kes ke-13 yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan disahkan positif COVID-19 pada 5 Feb lepas.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang telah pulih sepenuhnya dan discaj sehingga hari ini adalah sebanyak 18 orang dengan empat masih dirawat di wad dan kesemua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan setakat 23 Feb lepas, secara kumulatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan sebanyak 22 kes COVID-19 termasuk 20 kes import atau dari luar iaitu kes yang mempunyai sejarah perjalanan dari atau tinggal di luar negara, khususnya dari China.

Baki dua kes lagi adalah dalam kalangan ahli keluarga kepada satu daripada kes COVID-19 yang merupakan warga Malaysia.

“Mengambil kira dapatan ini, KKM telah bertindak proaktif dengan memperkukuhkan Survelan COVID-19 bagi mengesan kes dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Sistem survelan ini mengguna pakai konsep yang sedia dilaksanakan bagi Sistem Survelan Influenza – iaitu melalui pengesanan kes jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan pengesanan kes influenza-like illness (ILI) yang memenuhi kriteria, masing-masing di peringkat hospital serta Klinik Kesihatan yang telah dikenal pasti,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini tiada sampel dikesan positif COVID-19 daripada sejumlah sampel yang telah diambil dan diuji melalui sistem survelan tersebut.

Pengukuhan pengesanan dalam kalangan kes SARI telah dimulakan sejak 12 Feb lepas manakala pengukuhan pengesanan dalam kalangan kes ILI pula telah dimulakan pada 22 Feb lepas.- BERNAMA