Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 24 FEBRUARI 2020

PETALING JAYA – Tindakan PKR memecat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin kerana kedua-dua mereka jelas melakukan pengkhianatan secara terbuka kepada parti.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini sebulat suara memecat keahlian Timbalan Presiden PKR dan Naib Presiden PKR itu gara-gara terlibat dalam perjumpaan dengan pemimpin blok pembangkang di sebuah hotel di sini malam tadi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejadian itu disifatkan menyebabkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) terjejas.

“Mesyuarat MPP Khas hari ini bersetuju bahawa telah berlaku satu pengkhianatan terbuka oleh beberapa watak yang menjadi dalang utama yang jelas bercanggah dan bertentangan dengan pendirian parti dalam perkara berkenaan dengan kedudukan Perdana Menteri.

“Akibat pengkhianatan terbuka yang dipimpin oleh beberapa dalang utama itu, ianya menyebabkan keadaan yang boleh menjejaskan kerajaan PH.

“Jadi, ianya membawa kesan kepada ekonomi dan juga politik. Kita boleh tengok hari ini, ringgit dan saham jatuh,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat MPP Khas di ibupejabat PKR hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 1 tengah hari ini, selepas selesai mengadakan perjumpaan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad di kediamannya di The Mines, Seri Kembangan.

Menurut Saifuddin, keputusan MPP itu dicapai secara konsesus iaitu sebulat suara dan mengambil ketetapan Mohamed Azmin dan Zuraida dipecat keahliannya berkuatkuasa serta merta.

Kata beliau, peranan yang dimainkan kedua pemimpin itu semalam bertentangan dengan keputusan parti yang diambil melalui kongres parti, MPP dan biro politik.

“Mohamed Azmin dan Zuraida akan melalui proses seperti biasa, apabila apabila tindakan tatatertib yang membawa kepada pemecatan atau digantung, mereka boleh kemukakan rayuan dan akan dinilai oleh Lembaga Rayuan.

“Kes ini akan disusuli dengan surat tunjuk sebab dan parti turut mengenal pasti sejumlah pimpinan di semua peringkat yang ikut terlibat. Itu akan disusuli dengan surat tunjuk sebab.

“Ini adalah pengkhianatan terbuka dan peranan yang dimainkan secara terang-terangan oleh mereka yang memberi kesan kepada kestabilan kerajaan PH,” katanya.

Ditanya mengenai khabar angin, Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Saifuddin berkata, beliau tidak boleh menjawabnya.

Mengenai Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong petang ini, beliau menjelaskan, perkara itu bukan disebabkan kejadian semalam, sebaliknya telah ditetapkan lebih awal.

“Ini sebenarnya telah ditetapkan lebih awal, ia bukan kerana perjumpaan semalam, ia telah ditetapkan lebih awal. Istana telah beri perkenan Anwar mengadap pada tarikh yang kebetulan hari ini.

“Ini kebetulan berlaku. Lagipun, ini bukan pertemuan pertama, sebelum ini pun ada pertemuan Anwar dengan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau turut menyatakan, dalam mesyuarat itu, Anwar meminta penyokong PKR dan rakyat Malaysia bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinannya untuk mengendalikan keadaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PKR pecat Azmin, Zuraida

1 Komen

Comments are closed.