Pengendali Terengganu FC ll (TFC ll), Roshadi Wahab

KUALA NERUS – Pengendali Terengganu FC ll (TFC ll), Roshadi Wahab akui berdepan tugas sukar untuk memilih kesebelasan pemain yang akan diturunkan dalam aksi pertama saingan Liga Perdana menentang Selangor ll, 1 Mac ini.

Ia berikutan semua pemain menunjukkan komitmen dan prestasi terbaik mereka bagi merebut tempat dalam menggalas misi mengutip tiga mata pertama di tempat lawan.

“Saya sekarang berada dalam situasi ‘pening kepala’ untuk memilih kerana semua pemain menunjukkan komitmen yang baik dalam perlawanan persahabatan pramusim.

“Jadi saya perlu ambil masa sedikit lagi untuk tentukan siapa (pemain) yang akan membarisi kesebelasan utama walaupun bayangan tu sebenarnya sudah ada,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang pasukan Terengganu FC (TFC) di Padang C, Stadium Gong Badak, petang semalam.

TFC ll yang menamatkan cabaran Liga Perdana di tempat kelima musim lalu menyasarkan untuk berada di kelompok tiga terbaik musim 2020.

Dalam pada itu Roshadi berkata persiapan pasukan bagi menghadapi perlawanan sulung itu nanti berjalan lancar dan berada pada tahap terbaik.

Malah keempat-empat pemain importnya juga bebas daripada masalah kecederaan dan sudah tidak sabar untuk menggempur kubu lawan.

“Pada mulanya agak gusar juga kerana Argzhim (Argzhim Redzovic) cedera ketika bermain di satu perlawanan persahabatan, tetapi alhamdulillah sudah pulih sepenuhnya dan dapat diturunkan.

“Mintah (Jordan Mintah) juga setakat ini mempamerkan permainan dan semangat kesukanan yang baik dengan melakukan banyak ‘assist’ kepada Bruno dan memberi ruang untuk pemain lain menjaringkan gol,” katanya yang masih mengekalkan Bruno Suzuki sebagai kapten.- BERNAMA