Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Konflik dan ketidaksetujuan dalaman dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyebabkan Mahathir meletakkan jawatan.

Penganalisis politik, Isham Jalil mendakwa ada kumpulan dalam Bersatu tidak bersetuju untuk bergabung dengan UMNO dan Pas dalam kerajaan pintu belakang yang baharu.

“Salah satu sebab adalah kerana daripada 12 kerusi Parlimen Bersatu yang dimenangi pada PRU-14 yang lepas, lebih separuh daripadanya kalah beribu-ribu undi jika dibandingkan dengan gabungan undi UMNO dan Pas.

“Oleh itu besar kemungkinan mereka (ahli-ahli Parlimen Bersatu ini) akan terpaksa melepaskan kerusi-kerusi ini kepada UMNO atau Pas yang mempunyai sokongan akar umbi yang lebih kuat jika mereka bergabung dengan UMNO dan Pas apabila menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Tambahan lagi, menurut Isham, hampir semua daripada 14 bekas ahli parlimen UMNO yang melompat ke Bersatu selepas PRU-14 kini tidak lagi mempunyai jawatan di bahagian sama ada dalam UMNO mahupun Bersatu.

Isham merujuk kepada peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri dan Pengerusi Bersatu hari ini selain desas-desus pembentukan kerajaan baharu.

“Oleh itu besar kemungkinan mereka juga tentunya perlu menyerahkan kerusi mereka kepada orang lain di dalam UMNO, Pas atau Bersatu yang lebih senior atau berjawatan parti berbanding mereka.

“Mereka hanya memikirkan kepentingan kedudukan mereka. Mahathir pun sama,” dakwanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dr Mahathir letak jawatan Pengerusi Bersatu