Istana Negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk menemui Ahli-Ahli Parlimen daripada pelbagai parti hari ini.

Mereka ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Abang Johari Openg.

Ia susulan pertemuan tertutup oleh pemimpin UMNO dan Pas lewat malam tadi di ibu pejabat UMNO.

Pertemuan tertutup di Istana Negara itu dijangka bermula jam 1 tengah hari ini.

Lima pemimpin itu dijangka mengadakan sidang media selepas itu.

Polemik politik negara tercetus selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 21 Februari lalu dan berlarutan sehingga hari Ahad apabila spekulasi kencang membabitkan pimpinan Kerajaan Persekutuan.

Semalam, kerajaan Pakatan Harapan runtuh selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar daripada gabungan tersebut.

Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas menerajui Kerajaan Pakatan Harapan sejak 9 Mei 2018.

Dr Mahathir turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

Rentetan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang merupakan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR dipecat.

Tidak lama kemudian, Azmin, Zuraida dan sembilan Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan keluar parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast