Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengakui bahawa sesi temuduga yang dilakukan pihak Istana Negara hari ini mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Fadillah selaku Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, beliau dan rakan-rakannya perlu akur kepada proses itu.

“Itu proses apa yang ditetapkan dalam Perlembagaan, jadi melalui proses itulah. Setiap orang dua, tiga minit (pertemuan dengan Yang Di-pertuan Agong)

“Tak ada apa-apa (pertanyaan) cuma ada borang yang perlu ditandatangani. Semua berjalan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Istana Negara petang tadi.

Terdahulu, seramai 90 ahli parlimen daripada pelbagai parti politik diundang ke Istana Negara bermula jam 2.30 petang tadi bagi menghadiri sesi temuduga bersama pihak Istana.

Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membuat temuduga itu sendiri dengan peruntukan masa dua hingga tiga minit bagi setiap ahli parlimen.

Sesi temuduga itu dipercayai selepas tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh, awal pagi semalam.

Peletakan jawatan itu mendapat perkenan daripada YDPA semalam dan melantik  Mahathir sebagai Perdana Menteri intertim berkuasa kuasa, petang semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Wan Jaafar pula melahirkan rasa puas hati kerana proses itu berjalan dengan lancar.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 FEBRUARI 2020.

“Pertemuan,alhamdulillah, tuanku amat baik sekali dan mengerti dengan situasi yang kita ada. Bukan temuduga, bercakap dengan tuanku saja, tak ada apa pun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette