KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah akan bertemu sendiri dengan kesemua 222 ahli Parlimen bermula jam 2.30 petang ini dan esok.

Pertemuan seorang demi seorang ahli parlimen itu sebahagian daripada proses mendapatkan pengesahan seterusnya membantu proses pembentukan kerajaan persekutuan baharu.

“Tiada seorang ahli Parlimen pun akan tercicir daripada sesi temubual secara individu dengan YDPA,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam taklimat media di Istana Negara hari ini.

Menurutnya, YDPA akan menemubual setiap ahli Parlimen bagi masa dua atau tiga minit setiap orang.

Seramai 90 ahli Parlimen akan mula dipanggil mulai hari ini dan dijangka selesai sehingga jam 7 malam ini.

Taklimat kepada wakil media itu diberi bagi mengelakkan berlaku spekulasi tidak benar.

Proses itu pertama kali diadakan peringkat persekutuan dan menggambarkan keprihatinan Seri Paduka terhadap proses demokrasi di negara ini.

Ia juga menjawab persoalan kenapa ramai ahli parlimen daripada pelbagai parti kelihatan bersiap sedia untuk ke Istana Negara hari ini dengan memakai pakaian sut masing-masing.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.