Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru supaya seluruh penjawat awam di Malaysia ini mengekalkan pendirian apolitical dan berkecuali.

Rakyat jelata khususnnya penjawat awam mestilah terus menjunjung dan mempertahankan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dengan melaksanakan tugas masing-masing sepertimana yang telah dipertanggungjawabkan.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat juga memohon semua penjawat awam agar bertenang serta bersabar dan memberi fokus sepenuhnya dengan meneruskan tugas-tugas mengikut undang-undang dan dasar kerajaan yang berkuat kuasa demi memastikan semua sistem penyampaian kerajaan terus berjalan lancar dan rakyat seharusnya mendapat perkhidmatan yang berkualiti seperti sedia ada.

Menurutnya, perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat mestilah diteruskan walaupun dalam situasi negara yang belum ada kerajaan tetapi sebenarnya penjawat awam penuh komitmen untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara bagi memastikan negara ini sentiasa aman dan damai.

“CUEPACS mengambil pendirian untuk berdiri teguh dan menyokong sepenuhnya sebarang langkah yang diambil oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membentuk sebuah kerajaan yang kukuh demi memastikan kesejahteraan serta keharmonian rakyat dan negara.

“CUEPACS dan penjawat awam sentiasa bersama dengan kerajaan yang akan terbentuk nanti untuk terus memaju negara ini ke arah yang lebih cemerlang dan seterusnya memberi perkhidmatan yang sangat berkesan dan berkualiti kepada rakyat dan negara.

“Begitulah pendirian CUEPACS pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, CUEPACS menegaskan semua penjawat awam dilarang sama sekali daripada menghadiri atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan berkaitan politik, membuat apa-apa penyataan awam, mengedarkan atau menularkan berita palsu di media sosial atau apa-apa medium komunikasi yang lain atau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak dan ketetapan undang-undang dan dasar kerajaan yang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette