KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang sedang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan tuduhan penyelewengan RM42 juta sudah masuk hari ke-83 sebentar lagi.

Pasukan pembelaan akan memanggil Pengerusi Eksekutif Putra Perdana Bhd, Datuk Seri Rasman Abdullah.

Sepatutnya prosiding yang bermula pagi tadi sekitar jam 9 pagi terpaksa ditangguhkan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram mempunyai kes lain di Putrajaya.

Semalam, perbicaraan terpaksa ditangguhkan selepas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta tangguh kerana Najib terpaksa menghadiri satu mesyuarat penting di World Trade Centre Kuala Lumpur sebelum ke Istana Negara kerana kemelut politik ketika ini.

Najib bersama-sama wakil rakyat UMNO dan Pas di panggil menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi pengesahan sokongan kepada pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Rasman yang dipanggil sebagai saksi dijangka memberikan keterangan berhubung pemindahan dana sebanyak RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib sebelum ini.

Putra Perdana dikaitkan dengan Putra Perdana Construction terlibat dalam pemindahan RM42 juta daripada akaun SRC International ke akaun peribadi Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Najib membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan yang berkaitan dengan dana SRC. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast