Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima salinan Pakej Ransangan Ekonomi 2020 dari Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir pada sidang media Pakej Ransangan Ekonomi 2020 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 27 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta kakitangan perubatan dan RM200 kepada Imigresen dan kakitangan lain yang menjadi barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.

Bantuan elaun khas itu berkuatkuasa Februari 2020 hingga wabak berkenaan berakhir.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sehingga ini, Kementerian Kesihatan telah membelanjakan sebanyak RM150 juta bagi pembelian peralatan, ubat dan barangan guna pakai dalam usaha pengawalan wabak Covid-19.

“Kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan wabak Covid-19 dapat diuruskan dengan baik dan terkawal,” katanya.

Manakala pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar akan menerima bayaran secara one-off sebanyak RM600.

Bayaran itu dibuat kerana kerajaan menyedari kadar ketibaan pelancong berkurangan telah memberi impak negatif kepada pihak-pihak yang yang bergantung kepada industri pelancongan, kata Perdana Menteri Interim itu ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020. – MalaysiaGazette