KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang merangkumi tiga strategi dalam memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak Covid-19 dapat ditangani dengan berkesan.
Tiga strategi itu ialah menangani impak Covid-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan pakej ini berkata, antara impak serta merta terhadap ekonomi akibat penularan COVID-19 di peringkat serantau adalah penurunan kedatangan pelancong.
Kesan yang lebih ketara turut melibatkan hotel, penerbangan, syarikat pelancongan dan ke atas industri peruncitan secara meluas.
Menurutnya, bagi menangani keadaan ini, kerajaan akan mengambil tiga langkah pendekatan dalam strategi yang pertama.
Pertama, memudahkan aliran tunai bagi perniagaan yang terkesan dan kedua, memberi bantuan kepada individu yang terjejas dan ketiga, merangsang permintaan dalam industri pelancongan.
Perdana Menteri Interim itu menambah, pada masa yang sama, beberapa strategi dan rancangan juga akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan.
Jelasnya, walaupun kesan Covid-19 ketika ini terkawal namun wabak ini memberi impak besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia.
Justeru kerajaan memperkenalkan pakej ini bagi memastikan risiko dapat ditangani, dalam masa sama beberapa strategi dan rancangan akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi negara berada di landasan yang mampan. – MalaysiaGazette