Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyindir pemimpin parti politik yang didakwa cuba membeli ‘Ahli Parlimen’ untuk mendapatkan sokongan bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Beliau berkata, tidak perlu untuk membeli wakil rakyat sebaliknya, menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan dalam memilih kerajaan dan pemimpin negara.

“Diberitakan begitulah. Baik serah kepada rakyat. Nak beli, beli rakyatlah. Jangan beli wakil rakyat, beli rakyat. Rakyat nak jual diri ke, itu ikut suka rakyat la. Bubar Parlimen,” katanya dalam satu sidang media di Rusila, Marang hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen di kawasan berkenaan berkata, Pas tetap mahu supaya diadakan semula pilihan raya umum berikutan kecelaruan politik yang tidak ada kesudahan ketika ini.

Katanya, parti itu sentiasa bersedia untuk diadakan pilihan raya semula agar kerajaan dapat ditentukan oleh rakyat.

Ketika ditanya mengenai pergolakan yang berlaku, Abdul Hadi mengulangi, Pas sebelum ini mencadangkan usul untuk dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang bagi menyokong kepimpinan Dr Mahathir dan mahukan beliau terus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal.’

Bagaimanapun katanya, sokongan itu kelihatan lemah apabila parti politik lain tidak menampakkan kesungguhannya terhadap usul yang hendak dibangkitkan.

“Oleh kerana orang tak sokong, tak ada makna kita sokong. Suara tak cukup.

“Asalnya kita cadang usul di Parlimen untuk sokong Tun M. Oleh kerana responnya tidak positif daripada semua termasuklah DAP, termasuk PKR tidak menyokong dia lagi, UMNO pun tak sokong, tak ada makna kita sokong.

“Dengan sebab itu, serah balik kepada rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette