KUALA LUMPUR – Seramai 26 Pendakwah Mualaf yang dijadualkan berlepas ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah umrah telah ditunda sementara waktu berikutan langkah ketat diambil kerajaan Arab Saudi bagi menangani isu serangan wabak Covid-19.
Kumpulan saudara baru dari kaum Cina, India, masyarakat Orang Asli dan beberapa etnik dari Sabah dan Sarawak itu dipilih Yayasan Muallaf Malaysia (YMM) untuk Program Pembangunan Kendiri Pendakwah Mualaf: Road to Makkah 2020.
Menurut Pengerusi YMM, Nabila Shila Lama Abdullah, program yang sepatutnya bermula 29 Februari hingga 11 Mac ini ditangguhkan rentetan dari pengumuman kerajaan Arab Saudi membatalkan semua visa umrah dan pelancongan ke negara itu akibat serangan Covid-19.
Kata beliau, dengan pembatalan itu, semua penerbangan bagi menunaikan ibadah umrah dari tarikh 29 Februari ini ditangguhkan pada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.
“Walaupun ditangguhkan, semangat jemaah Pendakwah Mualaf ini begitu kental sekali. Mereka tidak sabar untuk beribadat dengan lebih khusyuk dan tenang di sana.
“Apapun, kita merancang, Allah juga merancang, tetapi perancangan Allah adalah yang terbaik. Ada hikmah di sebalik penangguhan ini,” katanya kepada Malaysia Gazette pada majlis taklimat dan kursus umrah di Restoran Mohd Chan di Bandar Baru Bangi, dekat sini, hari ini.
Pada majlis itu juga, dua penaja, Butik Haqqi Shah Alam dan Hafrail Resources Sdn Bhd (HRSB) pemilik Butik Elrah Exclusive Shah Alam menaja pakaian dan peralatan kelengkapan umrah kepada Pendakwah Mualaf.
Barangan tajaan itu disampaikan Ketua Pegawai Operasi Butik Haqqi, Azani Anwar dan wakil HRSB, Noor Hafizah Che Azman kepada Nabila Shila Lama.
YMM turut meraikan bekas anggota Unit Tindak Khas (UTK), Sarjan (B) Nazaruddin Mohd. Zin iaitu penerima pingat keberanian kedua tertinggi negara, pingat Panglima Gagah Berani (PGB).
Beliau yang juga dikenali sebagai Sabu, 75, sebelum ini ada menyatakan impiannya untuk ke Mekah dan hasratnya itu dipenuhi oleh YMM.
Mengulas mengenai program itu, Nabila Shila Lama memberitahu, Pendakwah Mualaf yang dipilih itu berkecimpung secara aktif dalam lapangan dakwah bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dan tidak pernah mengerjakan haji atau umrah.
Katanya, antara objektif utama adalah melahirkan lebih ramai pendakwah berkaliber di kalangan saudara baru atau mualaf melalui sebuah program pembangunan kendiri yang direka khas, lebih berstruktur dan sistematik.
Program itu, kata beliau, diolah dengan teliti supaya ia bukan sekadar program perjalanan umrah sahaja, tetapi merupakan sebuah modul pembangunan keupayaan kendiri berpandu ke arah membentuk kumpulan Pendakwah Mualaf yang mempunyai kualiti kepimpinan, moral, sosial dan kerohanian.
“Di samping itu, ia juga dapat memberikan manfaat dan sumbangan bermakna kepada ummah khususnya masyarakat mualaf, selain bagi mencapai matlamat yang telah digariskan.
“Program ini akan dilaksanakan dalam siri bimbingan pembangunan kendiri yang dijalankan melalui tiga fasa dengan acara kemuncaknya adalah mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah,” katanya.
Jelas beliau, sepanjang berada di tanah suci, mereka akan melibatkan diri dalam program dan aktiviti pemantapan spiritual dan akidah serta signifikan sirah perjuangan agung Nabi Muhammad dalam pembangunan dakwah. – MalaysiaGazette